Skip to main content

Malaysia

MOSTI perluas Program Advokasi Nuklear ke sekolah rendah

[TB]_Mosti Nuklear_Mosti
Chang Lih Kang berkata pendedahan awal penting bagi memastikan generasi muda memahami teknologi nuklear berasaskan fakta dan ilmu pengetahuan, bukannya persepsi yang sering mengaitkannya dengan risiko, senjata serta kemusnahan. -Foto MOSTI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat memperluaskan Program Advokasi Nuklear ke peringkat sekolah rendah bagi membentuk kefahaman yang tepat mengenai teknologi nuklear sejak usia muda.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang, berkata pendedahan awal penting bagi memastikan generasi muda memahami teknologi nuklear berasaskan fakta dan pengetahuan saintifik, bukannya persepsi yang sering mengaitkannya dengan risiko, senjata dan kemusnahan.

Menurut beliau, MOSTI akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenalkan program advokasi berkenaan di sekolah rendah.

"Apabila disebut nuklear, ramai yang terus membayangkan risiko dan kemusnahan, sedangkan teknologi ini mempunyai pelbagai manfaat serta digunakan dalam banyak bidang termasuk kesihatan, pertanian, industri, tenaga dan alam sekitar.

"Justeru, kita mahu masyarakat, khususnya generasi muda, memahami teknologi nuklear berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan supaya persepsi yang kurang tepat dapat diperbetulkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Lih Kang berkata pendedahan sejak usia muda juga penting bagi memupuk minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program Advokasi Nuklear yang membawa mesej "Nuklear Untuk Rakyat" memberi penekanan kepada penyampaian fakta dan ilmu pengetahuan mengenai manfaat serta aplikasi teknologi nuklear.

Bagi memperluaskan pendedahan kepada masyarakat, MOSTI turut memperkenalkan Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik, manakala Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara bertindak sebagai rakan pelaksana.

Kit advokasi yang digunakan mengandungi bahan pembelajaran yang mudah difahami, visual dan interaktif, termasuk buku Pengembaraan Dunia Nuklear, kit model molekul, model tiga dimensi teras reaktor, kad fakta interaktif, Pencarian Rakan Nuklear dan poster aplikasi teknologi nuklear.

Program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti Misi Eksplorasi Nuklear (Escape Room), Bandar Pintar Nuklear (Board Game), demonstrasi Kebuk Awan serta pengalaman realiti maya (VR).

Sehingga kini, Program Advokasi Nuklear telah dilaksanakan di 12 lokasi di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak, MRSM Kuala Krai dan Lahad Datu.

Pelaksanaan program itu selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menyokong pembangunan serta penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

 

Must Watch Video

Advertisement