MALAYSIA
MOT arah Prasarana pasang pintu platform penumpang di semua stesen LRT

Loke bercakap pada sidang media khas berhubung Penguatkuasaan Road Charge – Vehicle Entry Permit (RC-VEP), di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merangka pelan penambahbaikan menyeluruh terhadap aspek keselamatan di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT), termasuk pemasangan pintu keselamatan penumpang di setiap platform.
Ringkasan AI
- Pemasangan pintu platform di semua stesen LRT: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad memasang pintu platform penumpang bagi meningkatkan keselamatan, terutama di stesen LRT dengan reka bentuk lama.
- Langkah keselamatan susulan insiden: Keputusan ini dibuat selepas insiden kematian seorang lelaki warga Taiwan yang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Pusat Bandar Puchong.
- Siasatan dijalankan: Menteri Pengangkutan mengesahkan laporan kejadian telah diterima, dengan siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia menggunakan rakaman CCTV, serta tindakan susulan terhadap keluarga mangsa.
"Cuma untuk LRT aliran Ampang, ada stesen-stesen yang ini dengan reka bentuk lama, yang belum ada pemasangan pintu keselamatan di platform.
"Jadi, itu sesuatu yang saya minta Prasarana untuk melaksanakannya," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berhubung Penguatkuasaan Road Charge – Vehicle Entry Permit (RC-VEP), di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata pemasangan pintu keselamatan memerlukan peruntukan besar serta bajet tambahan.
“Prasarana sedang buat perancangan kerana ia melibatkan kos yang besar, namun kami beri keutamaan dan pertimbangan sewajarnya untuk menambah baik keselamatan penumpang di semua stesen,” tambahnya lagi.
Mengulas insiden Selasa lalu, Loke menjelaskan, siasatan awal menunjukkan kejadian itu adalah kemalangan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Laporan sudah diberikan oleh Prasarana semalam (dan) berdasarkan rakaman CCTV, mangsa mungkin tidak sedar kedudukan platform, dan kejadian ini diklasifikasikan sebagai kemalangan.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lebih terperinci,” jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami