MALAYSIA
MOT digesa umum tarikh penubuhan MTSB

Lam Thye mempersoalkan kelewatan penubuhan badan khas tersebut yang telah memakan masa selama 11 tahun sejak nahas tragis bas di Genting Highlands pada tahun 2014, yang meragut 37 nyawa. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa menyediakan garis masa yang jelas dan muktamad untuk penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB).
Ringkasan AI
- Tan Sri Lee Lam Thye menggesa Kementerian Pengangkutan menetapkan garis masa muktamad bagi penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) yang telah tertangguh selama 11 tahun sejak tragedi Genting Highlands.
- MTSB dicadangkan susulan kemalangan maut melibatkan anggota FRU dan pelajar UPSI, dengan harapan lembaga ini dapat menyiasat kemalangan secara teliti dan mengemukakan cadangan keselamatan.
- Lee menekankan kepentingan penubuhan lembaga bebas seperti di Kanada, Australia dan AS, bagi meningkatkan keselamatan pengangkutan dan mengelakkan kelewatan yang boleh mengancam nyawa.
"Sudah tiba masanya untuk mengutamakan keselamatan pengangkutan dan memastikan pengajaran diambil daripada setiap kemalangan bagi mengelakkan tragedi pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa MOT pada Rabu memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan penubuhan MTSB, yang akan berfungsi menyiasat kemalangan jalan raya di negara ini.
Beliau berkata demikian susulan syor yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan kementerian bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan kemalangan bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
Lam Thye turut mempersoalkan kelewatan penubuhan badan khas tersebut yang telah memakan masa selama 11 tahun sejak nahas tragis bas di Genting Highlands pada tahun 2014, yang meragut 37 nyawa.
Ujarnya, selepas peristiwa berkenaan, panel penasihat bebas yang dipengerusikan olehnya membentangkan 51 cadangan, termasuklah penubuhan segera Lembaga Keselamatan.
"Menteri ketika itu bersetuju dengan pembentukannya. Namun, selama lebih sedekad, inisiatif kritikal ini tidak langsung menampakkan peningkatan.
"Banyak negara telah menubuhkan lembaga keselamatan pengangkutan bebas bagi menyiasat kemalangan dan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan keselamatan merentasi pelbagai mod pengangkutan.
"Contohnya ialah Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada (TSB), Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB)," ujarnya.
Menurutnya, lembaga tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan dengan mengenal pasti isu sistemik dan mempromosikan amalan terbaik.
"Keselamatan penumpang, sama ada di laut, saluran paip, rel, pengangkutan udara mahupun kenderaan darat, adalah amat penting.
"Ia tidak boleh dikompromi oleh kelewatan birokrasi atau kekurangan kemahuan politik. Setiap hari kelewatan berpotensi membahayakan nyawa," katanya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami