KAJANG: Pemilik kenderaan bermotor yang berhasrat melupuskan kenderaan bermotor kini boleh melengkapkan proses pembatalan pendaftaran kenderaan secara dalam talian tanpa perlu perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) ataupun e-Dereg bertujuan memudahkan proses melupuskan kenderaan dengan lebih sistematik.

"Katakan kalau seseorang itu jual ke kedai besi buruk, pemilik kenderaan tersebut takkan tahu apa yang akan dilakukan ke kenderaan itu.

"Mungkin, kenderaan itu akan dipotong dan dia akan guna balik enjin itu, dan dijual semula sebagai used car.

"Kalau tidak ada satu sistem untuk pendaftaran, pemilik asal itu akan menghadapi risiko jika kereta itu digunakan untuk kegiatan jenayah, ataupun jika apa-apa  berlaku kepada kereta itu, liabiliti akan terpakai ke pemilik asal itu," kata Loke.

Menurutnya, proses sistematik seperti ini sangat penting bagi memastikan tiada isu berbangkit termasuklah isu kecurian identiti dan lambakan status kenderaan yang terapung di dalam sistem JPJ.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan sistem e-Dereg di Car Medic, di sini, pada Khamis.

Tambahnya, pelaksanaan proses ini bagi memastikan pelupusan kenderaan motor dapat dilakukan secara teratur selain mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Proses ini bagaimanapun hanya dibenarkan di Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh JAS.

Sebanyak 10 lesen AATF telah dikeluarkan JAS dengan cawangan pertama di Malaysia terletak di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, dekat sini.

Kemudahan sama turut tersedia di Shah Alam dengan lapan lagi cawangan AATF masih belum dibuka oleh pengusaha swasta lain.

“Saya menyeru lebih ramai pihak yang berminat menjalankan perniagaan dan perkhidmatan pelupusan kenderaan motor untuk memohon lesen AATF daripada pihak JAS agar turut boleh diberi akses melalui sistem e-Dereg ini di seluruh negara.

“Saya yakin bahawa mana-mana pihak yang mematuhi piawaian JAS, individu tersebut boleh memohon lesen untuk membuka fasiliti AATF ini," kata Loke lagi.

Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga, kata Loke, boleh mengadakan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan tanggungjawab masing-masing.

“Namun, program tersebut masih perlu melibatkan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan tersebut," tambah Loke.

Beliau berharap pelaksanaan sistem e-Dereg ini akan menjadi pemangkin dalam menyelesaikan isu lambakan kenderaan terbiar serta melindungi dan melestarikan alam sekitar.