SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan (MoT) melancarkan Medan Uji Regulatori Negara untuk kenderaan mikromobiliti di sini bagi pengoperasian kenderaan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pelaksanaan medan uji itu bertujuan memantau kebolehlaksanaan operasi penggunaan kenderaan mikromobiliti dari segi penguatkuasaan, pelesenan dan kebolehpakaian infrastruktur berdasarkan garis panduan yang telah disediakan.

"Inisiatif medan uji ini akan dijalankan di kawasan yang telah disediakan infrastruktur yang sesuai seperti yang telah digariskan dalam Garis Panduan Perancangan PLANMalaysia.

"MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan syarikat Futurise Sdn Bhd akan membantu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam pemantauan kebolehlaksanaan medan uji ini dari semua aspek dengan sokongan daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan semua pengguna mikromobiliti mematuhi peraturan medan uji yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Medan Uji Regulatori Negara untuk Mikromobiliti dan Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Nor Fuad Abdul Hamid dan Pemangku Ketua Pengarah MIROS Azhar Hamzah.

Hasbi berkata kenderaan mikromobiliti seperti e-skuter ialah sejenis pengangkutan yang boleh mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta dijadikan penghubung first and last mile untuk memastikan keterhubungan pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.

"Namun begitu, kita juga perlu memberi perhatian terhadap aspek keselamatan memandangkan penggunaan kenderaan ini di atas jalan adalah sangat berisiko kerana ia digunakan di kawasan yangmempunyai trafik bercampur selain mempunyai perbezaan had laju yang tidak dibina khusus seperti kenderaan bermotor lain.

"Pada 17 Dis 2021, MoT telah mengambil inisiatif melaksanakan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu termasuklah e-skuter. Namun kerajaan tidak mengharamkan penggunaan semua kenderaan itu secara total, penggunaan kenderaan tersebut di pusat rekreasi dibenarkan tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengangkutan Bandar MBSA Norazmizam Alias berkata inisiatif medan uji itu akan dijalankan di Seksyen 14 di sini sebelum diperluas ke kawasan Pusat Komersial, Seksyen 7, di sini secara berperingkat selain program itu dijangka mengambil masa selama setahun.

-- BERNAMA