BANDAR GAZA: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin bersedia untuk mengadakan pilihan raya parlimen di Semenanjung Gaza walaupun berdepan cabaran teknikal, lapor Sputnik/RIA NOVOSTI.
Jamil al-Khaldi, Pengarah wilayah badan pilihan raya itu di Gaza berkata pilihan raya itu akan menjadi yang pertama diadakan dalam tempoh dua dekad.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri pada Julai bagi mengadakan pilihan raya parlimen pada 28 Nov.
Pilihan raya akan datang itu merupakan yang pertama sejak Hamas memenangi majoriti di parlimen pada 2006.
“Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mempunyai kakitangan berpengalaman di Semenanjung Gaza yang bersedia sepenuhnya untuk mengadakan pilihan raya seperti dijadualkan pada akhir November,” kata al-Khaldi.
Beliau berkata terdapat beberapa cabaran logistik berkaitan penghantaran peti undi, dakwat dan kertas undi, namun Suruhanjaya mempunyai penyelesaian alternatif.
Proses pencalonan dan pendaftaran calon parlimen kini sedang berlangsung.
Kempen pilihan raya akan bermula kemudian namun Suruhanjaya Pilihan Raya sudah menerima lapan senarai pengundian yang mengandungi nama calon, kata pegawai Palestin itu.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI