Skip to main content

Dunia

Pembangkang Thailand fail usul undi tidak percaya terhadap Anutin, 17 menteri

Anutin dan 17 menteri dituduh membenarkan apa yang disifatkan pembangkang sifatkan sebagai “Rejim Biru”, dengan memperluas pengaruhnya dalam institusi utama negara. - Reuters
Anutin dan 17 menteri dituduh membenarkan apa yang disifatkan pembangkang sifatkan sebagai “Rejim Biru”, dengan memperluas pengaruhnya dalam institusi utama negara. - Reuters

Advertisement

BANGKOK: Parti pembangkang Thailand pada Khamis memfailkan usul undi tidak percaya terhadap 18 menteri termasuk Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, dengan menuduh kerajaan membenarkan apa yang disifatkan mereka sebagai “Rejim Biru” memperluas pengaruhnya dalam institusi utama negara.

Ketua Pembangkang yang juga pemimpin Parti Rakyat Natthaphong Ruengpanyawut berkata usul yang difailkan mengikut Seksyen 151 Perlembagaan itu ditandatangani 145 Ahli Parlimen pembangkang.

Natthaphong berkata perbahasan itu akan memberi tumpuan kepada apa yang disebut pembangkang sebagai “Rejim Biru”, yang didakwanya sedang berusaha mengukuhkan kuasa melangkaui Dewan Perwakilan.

“Kami melihat Rejim Biru sebagai musuh demokrasi dan satu jenayah terhadap demokrasi. Ia jelas menentang demokrasi dan sedang menguasai negara ini,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Usul itu mengandungi dakwaan terhadap setiap 18 menteri berkenaan termasuk Anutin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas dan Menteri Pertahanan Lt Jen Adul Boonthamcharoen.

Natthaphong mendakwa pengaruh itu boleh meluas hingga ke Senat dan badan bebas yang bertanggungjawab menjalankan fungsi semak dan imbang.

Beliau berkata usul itu turut merangkumi dakwaan rasuah dalam pemilihan Senat dan peperiksaan kerajaan tempatan, selain isu yang menjejaskan rakyat termasuk pengurusan banjir.

Pembangkang, katanya, yakin dengan maklumat dan bukti yang menyokong dakwaan mereka serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap menteri terbabit secara individu sekiranya perbahasan itu menemukan asas berlakunya salah laku.

Natthaphong turut menggesa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang membuat keputusan berdasarkan maklumat dan bukti yang dikemukakan semasa perbahasan.

Sidang Parlimen bagi membahaskan usul undi tidak percaya itu dijangka dijadualkan pada akhir Oktober.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement