MOTAC, MOF bincang keperluan jaminan insurans untuk ejen pelancongan - Tiong

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada MATTA Membership Summit 2026 hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan ejen pelancongan menggunakan jaminan insurans sebagai alternatif kepada jaminan bank.
Ringkasan AI
- MOTAC sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk benarkan ejen pelancongan gunakan jaminan insurans sebagai alternatif kepada jaminan bank, bagi memberi pilihan lebih baik kepada pengguna serta memulihkan kepercayaan susulan aduan melibatkan syarikat umrah.
- Kementerian sedang kaji keperluan pengendali pakej umrah sediakan jaminan bank sebanyak RM250,000, selaras dengan cadangan rangka kerja untuk tingkatkan keperluan jaminan bank berskala besar bagi pengendali bersaiz besar.
- Menteri Tiong gesa MATTA sampaikan rasional langkah tersebut kepada ahli, menegaskan tindakan itu bukan untuk menghukum perniagaan sah tetapi untuk memastikan bayaran balik segera kepada pengguna yang terjejas sekiranya berlaku sebarang masalah.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sidang Kemuncak Keahlian Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini hari ini.
Pada 18 Jan lepas, MOTAC dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu sedang mengkaji keperluan sedia ada bagi pengendali pakej umrah menyediakan jaminan bank sebanyak RM250,000 berikutan kes penipuan terhadap pengguna yang semakin serius dan kerap berlaku.
Di bawah cadangan rangka kerja itu, keperluan jaminan bank bagi pengendali berskala besar akan ditingkatkan selaras dengan saiz dan skala operasi mereka.
Pada masa yang sama, Tiong menggesa MATTA untuk memainkan peranan aktif dalam menyampaikan rasional langkah berkenaan kepada ahli, sambil menegaskan bahawa tindakan itu bukanlah bertujuan menghukum perniagaan yang sah, sebaliknya didorong oleh jumlah aduan yang tinggi diterima oleh kementerian.
Tiong berkata penguatkuasaan keperluan jaminan bank, terutamanya terhadap pengendali pelancongan ke luar negara, bertujuan memastikan bayaran balik dapat dilakukan dengan segera kepada pengguna yang terjejas sekiranya berlaku sebarang masalah.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa industri pelancongan Malaysia tidak boleh dikompromi dari segi standard dan kepercayaan pengguna demi mengejar keuntungan.
Tiong berkata kepercayaan ialah asas kejayaan sektor pelancongan kerana keyakinan pelawat secara langsung mendorong kunjungan berulang, syor kepada pihak lain dan mengekalkan reputasi Malaysia pada peringkat global sebagai destinasi pelancongan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


