KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia menganjurkan Pavillion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 26 hingga 31 Dis ini, dengan mempromosi Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di dunia.

MOTAC dalam kenyataan semalam memaklumkan, Malaysia disertai 16 organisasi yang terdiri daripada lima lembaga pelancongan negeri, tiga persatuan, satu rangkaian hotel, satu pemilik produk dan enam operator pelancongan.

"Sepanjang Minggu Ekopelancongan Tourism Malaysia, peserta dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang perspektif berbeza mengenai ekopelancongan di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai, yang berakhir pada 31 Mac 2022, diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri akan turut menghadiri majlis makan malam bersama penggiat pelancongan serta media di UAE hari ini (Khamis) sebagai sebahagian daripada Misi Jualan Pelancongan beliau yang pertama ke Asia Barat.

Dijadual berlangsung dari 1 hingga 5 Jan, misi itu bertujuan memulih dan mempertingkat komitmen Malaysia ke arah mewujudkan kerjasama pelancongan yang baik, melibatkan kolaborasi masa depan dan menjalin usaha sama dalam industri pelancongan.

"Penyertaan kita dalam ekspo ini dan usaha menjalin kerjasama global pintar serta strategik adalah penting bukan sahaja untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan tetapi lebih penting ialah memastikan pemain industri dan rangkaian nilai pelancongan kita yang terjejas sejak dua tahun lepas dapat menjana semula pendapatan sambil kita terus mempromosi Gelembung Perjalanan Langkawi di peringkat antarabangsa," kata Nancy.

Kerajaan telah melancarkan Gelembung Perjalanan Antarabangsa pertamanya dengan pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi bermula 15 Nov lepas tanpa syarat kuarantin.

Setakat 27 Dis lepas, sebanyak 97.6 peratus penduduk dewasa Malaysia telah menerima suntikan penuh manakala 78.4 peratus jumlah populasinya telah selesai divaksinasi.

-- BERNAMA