KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terbuka untuk mempertimbangkan dan meneliti cadangan pembangunan hab digital pelancongan nasional atau sebuah aplikasi super yang menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan pelancongan dalam satu platform digital berpusat bagi memudahkan akses pengguna, khususnya pelancong.
Timbalan Menteri berkenaan, Chiew Choon Man berkata, cadangan itu wajar diberikan perhatian seiring perkembangan teknologi digital, khususnya dalam usaha memperluas akses kepada maklumat destinasi produk, perkhidmatan dan pengusaha pelancongan tempatan secara lebih menyeluruh serta tersusun.
Beliau berkata, ketika ini, aplikasi Craft on the Go telah diwujudkan bagi menghimpunkan maklumat usahawan kraf tangan di seluruh negara mengikut kawasan, negeri dan jenis produk yang ditawarkan.
“Ini memang cadangan yang sangat bernas memandangkan kita sekarang di zaman digital... untuk makluman, sekarang kita ada Craft on the Go, satu aplikasi yang mengumpulkan segala maklumat usahawan kraf tangan mengikut kawasan, negeri dan jenis kraf tangan.
“Mungkin kita boleh bincang balik bagaimana kita boleh terapkan (aplikasi super) dalam zaman digital sekarang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pada sesi perbahasan mencadangkan MOTAC membangunkan National Tourism Digital Mapping atau Malaysia Tourism Digital Hub bagi menyelaraskan maklumat produk dan destinasi pelancongan dalam satu platform sekali gus memudahkan pelancong merancang perjalanan serta meneroka tarikan di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Chiew berkata, sebanyak 136 produk pelancongan yang mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) telah menyediakan kemudahan asas mesra orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, penambahbaikan kriteria MyTQA akan terus menggalakkan penerapan reka bentuk sejagat bagi memastikan kemudahan pelancongan lebih mudah diakses oleh semua golongan termasuk warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil.
Selain itu, Chiew berkata, MOTAC melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim dengan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan makanan halal, ruang solat, penginapan serta keselamatan dan keselesaan pelawat.
“Setakat ini, sebanyak 143 penyedia perkhidmatan telah memperoleh pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) manakala 390 pemandu pelancong mendapat akreditasi Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) selaras dengan pendekatan Muslim-friendly, not Muslim-only yang turut memberikan keselesaan kepada pelawat tanpa mengira agama,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,768,982,700 yang diperuntukkan kepada MOTAC dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 28 Ahli Parlimen.
Persidangan bersambung hari ini.
-- BERNAMA