KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang hanya akan tamat jika ia dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli Parlimen Santubong itu, sewaktu menggulung Rang Undang-undang Pelembagaan (Pindaan) 2022 hari ini berkata, ia tidak akan tamat secara automatik sekiranya sesuatu usul tidak dipenuhi.

Jelasnya lagi, jika perkara-perkara 3.1-3.3 di MoU tidak dipenuhi, ia masih terbuka untuk rundingan bersama kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“Dalam isu ini yang penting adalah semangat setiakawan atau 'spirit' di mana kedua-dua kerajaan dan pembangkang ingin mengadakan satu persefahaman dalam dasar-dasar kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

“Jika kita lihat perkara di para 3.3. (b) sebarang usul kerajaan atau rang undang-undang perlu dirundingi dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Oleh itu, kerjasama kedua-dua pihak adalah amat penting untuk menjayakan sesuatu usul dan RUU,” katanya lagi.

MoU antara kerajaan, pembangkang belum tamat - Wan Junaidi

Semalam, kerajaan melepasi undi berbelah bahagi untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi.

BACA: Dewan Rakyat: Usul Kerajaan untuk SOSMA 2012 gagal, 86 berbalas 84 - Speaker

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu semalam berkata, yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.

Bagaimanapun, hari ini beliau mengumumkan kekhilafan pemerhati di sebelah kerajaan, selepas gagal menandakan kehadiran Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh sewaktu tempoh pengundian.

Susulan kekalahan itu, beberapa pemimpin kanan parti politik Barisan Nasional mendakwa tindakan Pakatan Harapan telah mengakibatkan MoU itu terbatal.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN perlu segera keluar daripada belenggu kerjasama yang lemah seperti MoU antara kerajaan dan pembangkang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyifatkan kegagalan usul yang dibawa oleh kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) SOSMA 2012 adalah sesuatu yang mengejutkan, aib dan memalukan bagi pihak Kerajaan.

BACA: UMNO-BN perlu keluar daripada MoU, usul gagal amat memalukan - Ahmad Zahid

Justeru itu, beliau berkata, adalah wajar untuk UMNO dan BN menyimpulkan bahawa pembangkang telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan komitmen mereka sebelum ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hilang kepercayaan kerana kegagalan Dewan Rakyat meluluskan usul itu.

Beliau berkata isu SOSMA tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) ketika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.