KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Awang Hashim yang diarah keluar dan digantung empat hari, dibenarkan kembali ke sidang Dewan Rakyat kira-kira sejam kemudian selepas beliau memohon maaf.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan itu selepas Awang mengganggu perjalanan dewan.

Kekecohan berlaku selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) bangun meminta penjelasan berhubung usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kerana ia tidak tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) itu adalah bagi membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Awang, yang masuk ke dalam dewan sebelum Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Titah Diraja, kemudian meminta penjelasan daripada Johari mengenai hukuman yang dikenakan terhadap beliau.

"Apabila saya sebut sesuatu perkara, saya minta Pendang tarik balik, tidak mahu tarik balik... kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

"Anggaplah saya kawan tetapi bila saya mempengerusikan (mesyuarat Dewan Rakyat) kena hormat sedikit," kata Johari.

Bagaimanapun, Hamzah memohon kelonggaran supaya keputusan itu ditarik balik jika Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan beliau.

Hamzah kemudian meminta Awang supaya tidak berterusan mempertikai perkara itu dan memohon maaf sebelum dipersetujui Johari.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas ketika bersidang.

-- BERNAMA