MALAYSIA
MPI, IPT jalin kerjasama perluas latihan bidang kewartawanan

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha MPI untuk menjalin kerjasama strategik antara industri dan akademia demi memastikan kelestarian bidang berkenaan. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Institut Akhbar Malaysia (MPI) bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperluas program latihan dan pendedahan kepada pelajar komunikasi dalam meneruskan usaha memperkukuh bidang kewartawanan.
Ringkasan AI
- MPI bekerjasama dengan IPT untuk memberi latihan dan pendedahan kewartawanan kepada pelajar, termasuk penggunaan teknologi seperti AI dan data.
- Program ini berjaya meningkatkan keyakinan dan kesediaan pelajar menghadapi dunia media baharu yang serba pantas.
- MPI menekankan wartawan perlu menguasai teknologi tanpa mengabaikan etika, analisis, dan kredibiliti dalam penyampaian berita.
"Kita juga memberi latihan dan penekanan kepada kewartawanan baharu dengan fokus terhadap teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kewartawanan berasaskan data supaya mereka dapat maklumat yang jelas mengenai bidang itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum Wartawan Masa Depan: Membina Kerjaya dalam Dunia Media Baharu di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail.
Turut hadir sebagai panelis ialah Koresponden TV3 Wilayah Utara Selwam Arjunan dan Penganalisis Media yang juga bekas Pengarang Multimedia The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Munir Anaam Zuljadan.
Mengulas lanjut, Yong berkata program latihan dan pendedahan yang dijalankan sejak tahun lepas itu dilihat memberi kesan positif, apabila pelajar menjadi lebih peka, aktif dan yakin untuk menonjol dalam bidang komunikasi dan kewartawanan.
Beliau berkata MPI menyasarkan untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan lebih banyak IPT di seluruh negara demi memastikan wartawan generasi baharu bersedia menghadapi dunia media yang serba pantas dan digital.
"Kita tidak mahu teknologi menguasai wartawan, sebaliknya wartawan mesti menguasai teknologi dan sebab itu MPI membawa mesej ini ke kampus-kampus bagi memberi pendedahan, kerana latihan yang dijalankan dilihat memberi kesan positif kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata wartawan juga perlu terus memperkukuh nilai teras profesion mereka dengan mengutamakan pemikiran analitik berpaksikan kepada etika dan kredibiliti pelaporan serta penyampaian maklumat dalam persekitaran media yang kini dipengaruhi media sosial dan AI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami