CHUKAI: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melanggar sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 arah utara berhampiran laluan Cheneh-Chukai Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini Selasa lepas, berharap syarikat konsesi itu segera mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Mangsa Abdul Wahid Ismail, 55, berkata langkah memperkukuh keselamatan seperti membaiki pagar yang rosak dapat mengurangkan risiko kemalangan lebih serius kepada penguna lebuh raya berkenaan.
"Sebelum berlaku kemalangan lebih serius dan meragut nyawa, lebih baik tindakan segera diambil untuk membaiki pagar keselamatan serta memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.
Beliau menyokong arahan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, supaya syarikat itu segera membaiki pagar keselamatan yang rosak, selain meneliti langkah jangka panjang untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna susulan kemalangan berkenaan.
Abdul Wahid yang bekerja sebagai pemandu lori berkata pihaknya berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat konsesi LPT2 susulan kejadian menimpanya.
“Kemalangan itu menyebabkan isteri saya, Fauziah Muda, 52, mengalami kecederaan patah tangan kanan, manakala kereta kami juga mengalami kerosakan teruk,” katanya.
Dalam kejadian 10.20 malam Selasa, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan selepas MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah yang melintas di LPT2.
-- BERNAMA