KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sedang memperhalusi penyelesaian berhubung isu pengiktirafan graduan program farmasi dari Alexandria University, Mesir.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata langkah itu diambil bagi memastikan kepentingan graduan yang terlibat terus terpelihara.
Beliau berkata, program yang ditawarkan universiti berkenaan sebelum ini disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371).
"Program tersebut ialah Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy).
"Graduan daripada kedua-dua program itu boleh didaftarkan sebagai ahli farmasi selepas penilaian dibuat oleh Lembaga Farmasi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pengiktirafan program PharmD Alexandria University yang mendapat perhatian selepas beberapa pelajar Malaysia mendakwa hanya mengetahui program itu belum diiktiraf di negara ini selepas hampir empat tahun pengajian.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar menjelaskan, pada tahun 2019, Alexandria University menukar nama program kepada Bachelor of Pharmacy - PharmD dan Bachelor of Pharmacy - PharmD (Clinical Pharmacy).
Beliau berkata, kedua-dua program itu turut menerima akreditasi daripada National Authority for Quality Assurance and Accreditation of Education (NAQAAE), Mesir.
"Walaupun berlaku perubahan nama program, kandungan akademik dan 'Body of Knowledge' masih berada dalam bidang farmasi,” katanya.
Mohammad Shatar menjelaskan, perubahan yang dibuat oleh institusi luar negara berada di luar bidang kuasa kawal selia MQA dan LFM.
Sehubungan itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara MQA, JPT dan LFM bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
Beliau berkata, antara tindakan susulan yang sedang diperhalusi ialah mekanisme pengemaskinian penamaan baharu program di bawah Jadual Pertama Akta 371.
"Alexandria University juga akan diminta mengemukakan permohonan rasmi kepada LFM. Daripada sudut kesetaraan akademik, tiada isu kerana program tersebut diiktiraf setara sebagai Ijazah Sarjana Muda di Malaysia.
"MQA dan JPT komited memastikan graduan terlibat memperoleh laluan jelas bagi mendapatkan pengiktirafan profesional sebagai ahli farmasi di negara ini," katanya.