KUALA SELANGOR: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) hari ini memperkenalkan permainan papan gelongsor yang dibina menggunakan sisa bahan kitar semula di Forest Park, Bandar Hillpark, Puncak Alam, di sini.

Pengarah MRM Husaini Ismail berkata projek itu yang dilaksanakan oleh syarikat bumiputera iaitu Pro-Landscape Structure Sdn Bhd melalui khidmat nasihat MRM, menggunakan kira-kira 60 peratus bahan kitar semula.

Beliau berkata taman permainan yang direka bentuk berinspirasikan kapal angkasa iaitu 'Land On Mars' itu, mula dibina pada April 2021 dan siap setahun kemudian dengan kos RM100,000 menggunakan geran Program Pembangunan Pengeluaran Produk Nilai Tambah Tinggi dan Kompleks (HVA) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Sepanjang projek tersebut dijalankan, plastik yang digunakan menghasilkan lebihan sisa hingga 40 peratus dan kita gunakan semua lebihan tersebut menjadi butiran (granule) untuk melengkapkan komponen projek, jadi tiada bahan plastik yang dibuang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

MRM merupakan agensi yang ditubuhkan pada 1993 di bawah MITI untuk membentuk inovasi dan masa depan dalam bidang reka bentuk di Malaysia.

Husaini berkata memandangkan sisa plastik menyumbang hingga 15 peratus daripada jumlah pembuangan sisa pepejal di Malaysia, pihaknya bertekad untuk terus memberikan tumpuan dalam penghasilan pelbagai jenis lagi produk berasaskan sisa plastik termasuk pakaian dan aksesori,

Menurutnya inisiatif tersebut dilaksanakan melalui program Waste to Wealth Innovation melibatkan pertandingan reka bentuk fesyen dengan menerapkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Selain inisiatif berkenaan, kita juga melaksanakan program komuniti dengan mengadakan bengkel dan seminar untuk beri kesedaran kepada masyarakat tentang isu semasa.

"Kita juga adakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dengan memberikan penerangan di peringkat sekolah tentang kaedah membangunkan reka bentuk lestari," katanya.

Husaini berkata pihaknya turut memberi pengiktirafan kepada produk-produk tempatan yang cemerlang dari segi reka bentuk melalui Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA).

"Sekarang kita juga cuba menerapkan elemen ESG dalam program pengiktirafan tersebut dan diharap produk yang dibangunkan dan diiktiraf di Malaysia akan menembusi pasaran Asia," katanya.

-- BERNAMA