Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengulangi pendiriannya bahawa Stesen MRT Curve dan pintu masuknya direka untuk memenuhi keperluan pengguna berpotensi yang berulang-alik di kawasan itu sama ada untuk bekerja, berniaga, membeli-belah atau bersantai.

MRT Corp dalam satu kenyataan hari ini berkata lokasi stesen pintu masuk itu akan membolehkan orang ramai mengakses stesen dengan selesa, mudah dan selamat, sambil memastikan aliran lalu lintas lancar di jalan bersebelahan.

"Semua kelulusan bagi reka bentuk stesen itu termasuk pintu masuk dan hentian sebelah telah diperoleh. Ini termasuk kelulusan oleh kerajaan untuk skim laluan MRT Sungai Buloh-Kajang pada bulan Julai 2011 yang meliputi stesen MRT The Curve," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, MRT Corp juga ingin menekankan bahawa reka bentuk stesen termasuk tiga pintu masuk telah dipaparkan untuk tatapan orang ramai apabila Skim laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dipaparkan selama tiga bulan mulai 14 Feb 2011 hingga 14 Mei 2011.

"Reka bentuk stesen ini juga merupakan antara perkara kepada empat sesi perjanjian spesifik dengan Persatuan Pemilik dan Penghuni Mutiara Damansara (persatuan yang mewakili penduduk di Mutiara Damansara) yang diadakan pada 15 Sept 2012, 19 Dis 2012, 10 Julai 2013 dan 25 Feb 2014," menurut kenyataan itu.

MRT Corp juga ingin menjelaskan bahawa Pintu Masuk C dan hentian sebelah sedang dibina di atas rizab kerajaan yang telah diluluskan bagi projek MRT, menurut kenyataan itu.

"MRT Corp juga ingin menekankan bahawa pembinaan Pintu Masuk C dan hentian sebelah tidak memerlukan perobohan dinding penghadang Mutiara Damansara Zon A. Walaupun pada hakikatnya pagar dan sebahagian daripada kawasan berpagar ini telah menceroboh di atas tanah kerajaan yang diperuntukkan untuk projek MRT," menurut kenyataan itu.

Kenyataan juga memaklumkan, Pintu Masuk C yang terletak di Jalan PJU7/1 bersebelahan jalan dari Hotel Royale Chulan, adalah satu daripada tiga Pintu Masuk yang sememangnya menjadi sebahagian daripada reka bentuk asal stesen MRT Curve.

"Pintu Masuk C bersambung dengan stesen MRT Curve yang terletak di sebelah Surian Tower melalui jejambat pejalan kaki berbumbung di Jalan PJU7/1. Bersama-sama pintu masuk ini, sebuah hentian sebelah akan dibina yang boleh memuatkan tiga buah teksi, sebuah bas dan tiga buah kenderaan persendirian.

"Dua buah stesen lagi terletak di Persiaran Surian Tower dan Pintu Masuk B terletak di Jalan PJU7/1 sebelah Royale Chulan," tambah kenyataan itu.