KUALA LUMPUR: Semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah telah diarahkan untuk bersiap sedia sepenuhnya semasa Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan operasi menyelamat dan menjaga keselamatan rakyat berjalan lancar.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata arahan itu melibatkan persiapan rapi di semua peringkat kontinjen dengan fokus utama diberikan kepada aspek keanggotaan serta kelengkapan logistik.
"Kita memang diberi arahan untuk membuat persiapan sewajarnya. Semua kontinjen perlu memastikan persiapan mencukupi dari segi anggota dan juga logistik. Keperluan ini amat penting semasa berlakunya fasa monsun nanti," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik dan Profesional PDRM 2026 di sini, hari ini.
Mohd Khalid juga memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh koordinasi strategik bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"PDRM telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama NADMA yang menjadi persediaan penting semasa MTL," katanya.
MTL yang bermula pada 27 Okt dijangka berterusan hingga Mac tahun depan, dan diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, terutamanya dari November hingga Januari, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan berkedudukan rendah serta berhampiran sungai.
Mengulas mengenai majlis berkenaan Mohd Khalid berkata sebanyak 321 pegawai dan anggota PDRM menerima skrol peringkat sarjana, diploma serta sijil melibatkan tujuh program pengajian.
Program persijilan berkenaan dijalankan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaya dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mempertingkatkan ilmu pengetahuan warga PDRM agar dapat disinergikan dengan pengalaman penugasan di lapangan.
"Kolaborasi ini memberikan ruang dan peluang kepada warga PDRM meningkatkan keupayaan diri, dan ilmu pengetahuan supaya setaraf dengan agensi kerajaan lain serta pada peringkat antarabangsa.
"Ini satu pengiktirafan dan penyuntik semangat kepada warga pasukan untuk terus menjalankan amanah serta tanggungjawab pada masa hadapan," katanya.