SEJENIS sotong berbahaya ditemui dalam hidangan yang dinikmati seorang lelaki di sebuah restoran di China.

Namun, dia terselamat daripada malapetaka lebih besar apabila memilih untuk menyiarkan gambar itu dalam talian sebelum menjamahnya dan bertanyakan maklumat tentang makanan laut berkenaan.

Foto itu menunjukkan beberapa ekor sotong kecil yang dihidangkan dalam bakul dipenuhi ais.

“Bolehkah saya memakannya? Saya menunggu jawapan anda. Agak cemas,” itu kapsyen lelaki tersebut pada gambar di akaun Weibonya.

Gambar itu mendapat perhatian blogger sains, Bo Wu Za Zhi.

“Ia adalah sotong leopard-striped atau blue-ringed. Kadar toksiknya sangat tinggi dan tidak akan dineutralkan apabila dipanaskan.

"Bukan perkara pelik, malah pernah berlaku, sotong jenis ini secara tidak sengaja bercampur dengan sotong biasa yang dijual di pasaran, walaupun kemungkinan ia berlaku sangat rendah," katanya.

Selepas melihat jawapan penulis blog itu, beberapa pengguna Weibo menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan lelaki tersebut.

Nasib lelaki itu baik kerana sempat membaca penerangan tersebut dan sotong itu dipulangkan ke dapur restoran.