IPOH: Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai 238 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Wan Zahidi, 81, dilantik sebagai Mufti Perak pada 1 Ogos tahun lalu, merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain Wan Zahidi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed turut dikurniakan darjah SPMP.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dikurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd Zaki Mahyuddin menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk manakala seramai 13 penerima dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DPMP ialah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan yang juga bekas Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

Selain itu seramai lima individu menerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan, Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) (14); Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) (29); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (21); Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (43); Pingat Pekerti Terpilih (PPT) (60); Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (33) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 15 orang.

Tiga atlet yang berjaya mengharumkan nama negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 iaitu atlet olahraga Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Shereen Samson Vallabouy dan penerjun Muhammad Syafiq Puteh merupakan antara penerima pingat PJK.

Pada sidang media semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan dua sesi di mana sesi pertama pada Ahad ini dan sesi kedua pada 18 Nov ini.

Katanya kedua-dua sesi istiadat akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Beliau berkata sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing, katanya.

Rakyat negeri Perak juga diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

-- BERNAMA