GEORGE TOWN: Semua pihak dinasihatkan supaya tidak mudah terperangkap dengan sentimen agama dan perkauman sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sebagai masyarakat majmuk di negara ini, semua pihak perlu sentiasa ingat bahawa keamanan perlu dipelihara dan diutamakan daripada memperoleh kepentingan politik yang sementara.

"Isu azan di negeri ini dilihat sering kali disensasikan sejak dahulu lagi. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2010 lagi.

"Keputusan telah dibuat untuk melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah. Saya khuatir ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu ini untuk meraih keuntungan politik murahan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berkaitan tindakan lelaki yang tidak dikenali meminta pengadu untuk memperlahankan bunyi azan di masjid di Sungai Puyu, Butterworth kerana mendakwa terlalu kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar.

Wan Salim menambah, beliau berharap agar kekecohan itu tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan dengan baik selain saling bertolak ansur antara semua pihak terbabit.

"Saya berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjadi lebih teruk. Saya difahamkan, polis telah membuka kertas siasatan berhubung isu ini, biar polis jalankan siasatan.

"Saya juga difahamkan kejadian ini berlaku apabila pihak masjid telah terlupa menutup pembesar luar ketika mendirikan solat subuh dan semasa kuliah disampaikan (selepas solat subuh)," katanya.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Pihak JMB kondominium berkenaan telah melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan sebaliknya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau sahaja.

Perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap beberapa penduduk kondominium yang menyifatkan larangan itu sebagai mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Bagaimanapun perkara itu telah selesai apabila pihak JMB kondominium berkenaan telah memohon maaf secara terbuka berhubung isu terbabit. - Sinar Harian