KUALA LUMPUR: Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) digesa untuk dinilai semula.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) berkata, penilaian semula itu adalah bagi membolehkan aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi.

"Pada masa yang sama GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

"Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah lebih besar.

"Tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosio-ekonomi di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama ekonomi gig dan berteraskan Era Teknologi Digital," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan tahun ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 376,000 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan.

"Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang menganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan.

"Penting dalam usaha kita untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini supaya segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan," tambahnya.

Justeru, beliau menegaskan, inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah RMK-12 perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan supaya kekayaan, pertumbuhan serta peluang dapat merentasi semua golongan.