Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap lawatan rasmi dua hari beliau ke Bangkok yang berakhir hari ini, amat berjaya dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara serta memberi prospek yang amat memberangsangkan bagi kerjasama yang lebih baik di tahap yang lebih tinggi.

Terdapat kesungguhan kedua-dua kerajaan untuk melihat apa yang telah dipersetujui oleh kedua-dua Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yingluck Shinawatra) akan diteruskan, kata beliau pada sidang akhbar selepas mesyuarat meja bulat dengan pemimpin-pemimpin industri Malaysia dan Thailand hari ini.

"Cuma kita harap satu kesungguhan yang lebih fokus supaya projek yang telah dirancang akan dilaksanakan segera terutamanya yang melibatkan sempadan di selatan Thailand dan utara Malaysia supaya program pembangunan dapat memberi keuntungan kepada penduduk di wilayah berkenaan," kata beliau.

Proses damai di selatan Thailand turut menjadi agenda perbincangan antara Muhyiddin dan Yingluck semalam.
Muhyiddin berkata memang ada kesungguhan di pihak Thailand supaya satu tahap kemajuan yang menggalakkan dalam proses damai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata Thailand juga menunjukkan minat yang tinggi dalam isu halal dan kedua-dua negara telah berbincang supaya koloborasi dalam perkembangan standard halal dipertingkatkan.

Muhyiddin berharap pihak swasta memainkan peranan kerana kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator dalam menyediakan standard tetapi yang penting ialah penglibatan swasta menyegerakan penggunaan standard halal dan lain-lain langkah penting.

Mengenai hasil mesyuarat meja bulat tersebut, Muhyiddin berkata syarikat Thailand jelas sekali amat berminat untuk meneroka dan melabur dengan lebih banyak lagi di Malaysia.

Beliau berkata wakil dari syarikat Thailand yang hadir telah bertanya tentang insentif, sokongan yang diberikan kerajaan Malaysia dan juga dasar dalam bidang perlancongan, peruncitan, hartanah dan beberapa bidang pembuatan.

Beliau berkata maklum balas yang diberikan ialah Malaysia memang berminat untuk melihat lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Mengenai syarikat-syarikat Malaysia, Muhyiddin berkata bank-bank Malaysia berminat untuk mengembangkan operasi mereka di Thailand dan meminta sokongan serta dasar yang lebih liberal daripada kerajaan Thailand.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Thailand Kittirat Na Ranong telah menjelaskan mengenai trend liberarlisasi dalam perbankan Thailand akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini.

Kittirat juga telah menjelaskan bahawa kerajaan Thailand sedang menunggu kelulusan parlimen negara itu berkaitan dana dan bajet yang agak besar bagi pembangunan melibatkan kereta api, pelabuhan dan lebuh raya, kata Muhyiddin.

Ini bermakna terdapat potensi bagi syarikat Malaysia yang terlibat dalam bidang-bidang tersebut, kata beliau sambil menambah bahawa Thailand menyatakan hasrat akan melabur lebih US$60 bilion dalam pembangunan infrastruktur.