KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan berkenaan Belanjawan 2021.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata Muhyiddin perlu menghormati kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat jika beliau mahu Belanjawan 2021 mendapat sokongan semua pihak.

Katanya, Muhyiddin juga perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu 'politicking' dihentikan ketika ini.

"Titah Yang di-Pertuan Agong supaya tidak bermain politik itu tentulah kepada semua ahli politik baik dari kerajaan atau pembangkang.

"Kerana itu, Muhyiddin juga perlu berhenti bermain politik, jumpa kami dari Pakatan Harapan untuk bincang mengenai Belanjawan 2021 yang kerajaan akan bentangkan.

"Hormatilah juga peranan Ketua Pembangkang, apa salahnya kalau jumpa dan bincang," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

BACA: Hayati titah Agong henti politiking - Anwar Ibrahim

BACA: Portal berita dedah surat Zahid Hamidi sokong Anwar, tuntut jadi TPM

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara

Majlis Presiden Pakatan Harapan dilaporkan akan mengadakan mesyuarat pada Khamis bagi membincangkan tentang Belanjawan 2021 yang dijadualkan dibentang pada 6 November nanti.

Salahuddin sebelum ini menegaskan beliau dan rakan-rakan dalam PH bersedia dipanggil perdana menteri bagi membolehkan kata sepakat dicapai demi kebaikan rakyat.

"Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

"Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera," katanya baru-baru ini.