Pas hari ini mengesahkan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bersetuju menyertai Muafakat Nasional melalui satu surat yang dihantar beberapa hari lalu.

Setiausaha Agong Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawapan balas dihantar Muhyiddin susulan surat pelawaan yang diterima beliau, yang ditandatangani Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, kata Takiyuddin, perbincangan lanjut, termasuk sama ada untuk mendaftarkan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan, masih belum dimulakan.

"Hari ini saya boleh mengesahkan bahawa Muhyiddin telah menjawab surat itu, menyatakan kesediaan Bersatu menjadi anggota di bawah Muafakat Nasional.

"Kita sudah terima surat itu atas nama Presiden Pas. Jadi, ia sudah sah, tetapi belum sempat ada perbincangan lagi. Mungkin kita akan ada perbincangan antara tiga parti," katanya.

Tambahnya, perbincangan terperinci antara tiga parti itu akan diadakan dalam masa terdekat.

BACA: UMNO, Pas jemput Bersatu sertai Muafakat Nasional - Zahid

Beliau juga turut memaklumkan, Jawatankuasa Muafakat Nasional belum berbincang sama ada ingin mendaftarkan nama Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional sebagai satu gabungan.

Ini kerana, untuk menyertai pilihan raya umum ke-15 (PRU15), gabungan parti perlu didaftarkan sebagai satu entiti.


"Sekiranya semasa PRU15, misalnya kita nak guna Perikatan Nasional, maka Perikatan Nasional perlu didaftarkan dulu sebagai sebuah parti.

"Kalau nak Muafakat Nasional, Muafakat Nasional perlu daftar juga. Itu kena bincanglah dulu. Apabila ada 'partnership', kenalah bincang bersama," kata Takiyuddin.

BACA: Tular surat UMNO, Pas ajak Bersatu sertai Muafakat Nasional

Katanya, Perikatan Nasional ketika ini masih di peringkat penajaan, yang mana Pas merupakan antara penaja dalam membawanya sebagai sebuah gabungan yang sah dan rasmi.

Menjelaskan lanjut, Takiyuddin mengambil contoh Pakatan Harapan yang tidak sempat didaftarkan pada PRU14 lalu, menyebabkan gabungan itu tidak boleh menggunakan logo Pakatan Harapan untuk bertanding.