KAJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan kejadian banjir di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak, di sini, yang menyebabkan sekumpulan murid terpaksa menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam kelas yang dinaiki air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku pada Rabu susulan hujan lebat berterusan tanpa henti melebihi satu jam.

“Banjir kilat berlaku pada jam lebih kurang 4.30 petang dengan anggaran ketinggian air pada ketika itu ialah dua kaki (60 sentimeter).

“Seramai 64 orang murid berumur 11 tahun sedang menduduki peperiksaan UPKK dan dipantau oleh lapan orang guru,” katanya kepada Astro AWANI, di sini malam ini.

Norazam berkata, air telah surut sepenuhnya sekitar pukul 7 petang pada hari sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekolah berkenaan terletak di kawasan rendah berbanding kawasan sekeliling dan kerap berlaku banjir kilat.

Ujarnya lagi, kejadian banjir kilat hanya melibatkan kawasan sekolah tersebut sahaja.

“Pasukan bertugas semalam telah membuat rondaan dan pemantauan di kawasan sekitar Sungai Balak termasuk di SRA Sungai Balak mendapati air telah surut sepenuhnya,” kata Norazam.

Terdahulu, tular di laman sosial memaparkan sekumpulan murid tetap meneruskan peperiksaan meskipun air banjir sudah memasuki kelas.

Menerusi video tersebut, kelihatan sekumpulan murid lengkap memakai seragam sekolah bersama tenaga pengajar masih berada di dalam kelas selepas sesi peperiksaan kelihatan baru berakhir.