KUALA LUMPUR: Sebanyak 31,600 kuota haji Malaysia bagi musim haji 1445H, sudah dipenuhi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah itu turut termasuk 80,000 rayuan yang diterima pihak Tabung Haji.

Ini bermakna mereka yang layak selepas membuat rayuan sudah menerima panggilan, dengan penerbangan pertama ke Tanah Suci dijadualkan pada 9 Mei ini.

"Maknanya pertimbangan terhadap perayu sudah diambil kira. Contohnya, giliran mereka pada 2024 atau 2023 untuk pergi haji tetapi menolak tawaran haji atas sebab tertentu, Tabung haji akan teliti permohonan mereka yang buat rayuan.

"Jadi perayu seramai 80,000 itu telah diberi pertimbangan. Tabung Haji ada jawatankuasa khas yang dibentuk untuk teliti semua permohonan dan mereka yang buat rayuan haji," katanya yang ditemui selepas  Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat di Dataran Merdeka, pada Sabtu.

Terdahulu , Tabung Haji membuka rayuan haji yang dibuka pada 26 Januari lepas dan akan ditutup pada 8 Mei ini.

Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini dengan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini.