RIYADH: Perkhidmatan kereta api Arab Saudi di laluan Ekspres Haramain semasa musim haji tahun ini akan ditingkatkan dengan lebih 3,400 perjalanan serta 1.5 juta tempat duduk ditawarkan  kepada jemaah.

Menurut laporan portal berita Arab News, ini bermakna perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi berkenaan yang membolehkan jemaah haji melakukan perjalanan antara Mekah dan Madinah dalam masa hanya dua jam 20 minit itu akan menjalankan 126 perjalanan sehari di laluan tersebut.

Naib presiden Haramain, Rayan Al-Harbi mengesahkan semua operasi kereta api untuk musim haji mengikut perancangan yang ditetapkan.

Pada bulan Ramadan tahun ini, perkhidmatan Ekspres Haramain telah membawa lebih daripada 818,000 penumpang dalam lebih daripada 2,540 perjalanan iaitu peningkatan sebanyak 265 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.