NAMPAKNYA sebahagian besar negara Asia dan ASEAN sudah atau bakal berdepan pilihan raya, sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang memerlukan rakyat menjadi hakim atau penentu keputusan. Di sebelah Asia Tenggara, negara yang akan berdepan pilihan raya tentunya Malaysia, kemudian diikuti Indonesia, pada 2014. Begitu juga Thailand akan menjalani proses pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi apabila ia kali terakhir diadakan pada 2009. Seperti mana sebahagian besar negara ASEAN lain, penggal pemerintahan kerajaan di Thailand ialah lima tahun.

Negara Asia Tenggara yang sudah selesaikan proses pilihan raya ialah Myanmar. Itupun hanya pilihan raya kecil, walaupun kesannya besar iaitu pemimpin pro demokrasi, Aung San Suu Kyi akhirnya ada suara di Parlimen. Myanmar mengadakan pilihan raya pada 2012, selepas tidak mengadakannya selama lebih 20 tahun. Selama ini, Parlimen Myanmar majoritinya dicengkam suara tentera atau tadmadaw.

Begitu juga Singapura, negara seberang tambak ini selesai menggerakkan proses demokrasi pada 2011, dengan sedikit angin perubahan baru walaupun memihak kepada parti pemerintah PAP sekali gus mengekalkan kuasanya untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga 2015. PAP masih kekal sebagai parti tunggal yang mentadbir Singapura. PAP juga berjaya menjana ekonomi Singapura sehingga menjadikan negara itu antara yang paling maju dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Sebuah lagi negara ASEAN yang selesai dengan pilihan raya ialah Kemboja pada tahun 2012. Manakala Vietnam dan Laos masing-masing turut mengadakan pilihan raya pada tahun sama. Sebuah lagi negara dalam kelompok ASEAN tetapi statusnya hanya pemerhati dalam entiti 10 negara itu, Timor Leste, pula mengadakan pilihan raya tahun lepas. Proses pilihan raya Presiden, diadakan selepas 10 tahun bebas dari jajahan Indonesia, akhirnya memihak kepada bekas gerila, Taur Matan Ruak dan menewaskan penyandang jawatan, Jose Ramos Horta, pemenang hadiah Nobel.

Seperti Malaysia dan Indonesia, negara ASEAN yang akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat ialah Filipina. Namun, berbanding Filipina, radar perhatian dunia tentunya lebih tinggi kepada Malaysia. Kali terakhir Filipina mengadakan pilihan raya ialah pada 2009. Presiden sekarang, generasi kedua Aquino, Benigno Aquino III akan mempertahankan jawatannya untuk tempoh sepenggal lagi.

Di kalangan negara Asia pula, beberapa negara sudah selesai mengadakan pilihan raya. Antaranya Jepun dan Korea Selatan, dalam kelompok yang dipanggil Asia Timur. Jepun mengadakan pilihan rayanya pada 16 Disember 2012 manakala Korea Selatan selesai mengadakan pilihan raya tiga hari kemudian iaitu pada 19 Disember. Dua buah negara ini, kedua-duanya antara ekonomi Asia yang paling pantas bergerak dan dilihat berupaya menyaingi kuasa ekonomi China. Pilihan raya Jepun berjaya mengembalikan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe ke tampuk kuasa, menggantikan Yoshiko Noda, yang dihukum kerana tidak berjaya tangani bencana berganda tsunami, gempa bumi dan krisis nuklear pada 2011. Manakala Korea Selatan pula buat kali pertama dalam sejarah mengangkat wanita sebagai Presiden apabila Park Guen-hye dari Parti Saenuri dipilih. China tidak mengadakan pilihan raya langsung, tetapi memilih barisan kepimpinan baru untuk 10 tahun akan datang. Gergasi ekonomi Asia itu, selesai menentukan reformasi kepimpinan pada bulan lepas.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada Pakistan dan India. Dua negara seteru nuklear Asia Selatan ini akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat. Pakistan sudah menetapkan tarikh pilihan raya iaitu 11 Mei 2013 manakala India pula, mandat lima tahun sejak 2009 kerajaan yang ada sekarang akan berakhir tahun depan. Hasil keputusan pilihan raya tentunya banyak memberi harapan, antaranya perdamaian di Kashmir. India dan Pakistan sudah tidak berupaya lagi untuk terus bertelagah kerana wilayah cantik ini. Untuk India menyaingi ekonomi China, yang ketika ini memintasnya, New Delhi perlu menamatkan perbalahan bersama Pakistan berhubung Kashmir. Pakistan pula, perlu dokongan India untuk menewaskan Taliban dan Al-Qaeda. Sebarang keganasan yang berterusan membantut pertumbuhan ekonomi Pakistan.

Di sebelah Asia Barat, yang juga disebut Timur Tengah, negara yang akan mengadakan pilihan raya ialah Mesir. Disebabkan masalah draf perlembagaan, tarikh yang pasti untuk mengadakan sebuah pilihan raya di negara itu sehingga kini belum dimuktamadkan. Iran, sebuah lagi negara Asia Barat, sudah selesai mengagakan pilihan raya Parlimennya tahun lepas. Begitu juga Israel, sudah mengadakan pilihan raya bulan lepas. Sebuah negara yang tidak dapat mengadakan pilihan raya tentunya Syria. Satu proses demokrasi tidak mungkin diadakan dalam keadaan negara sedang berperang seperti dialami di Syria sekarang. Tunisia dan Lubnan, saksi kepada kebangkitan rakyat “Arab Spring” walaupun sudah mengadakan pilihan raya tetapi sehingga kini masih dilanda kebuntuan politik disebabkan tiada kesepakatan antara parti-parti.

Pilihan raya, walaupun sifatnya adalah rakyat menjadi penentu, sistemnya berbeza dari satu negara dengan negara lain. Dalam kalangan negara ASEAN misalnya, proses pemilihan, penentuan tarikh pilihan raya dan sebagainya berbeza antara Malaysia dan Indonesia. Bagi Malaysia, kita mencari parti yang menang dan kemudiannya membentuk kerajaan. Tetapi terdapat juga sistem di mana rakyat perlu mencari Presiden dan jika tidak menang mutlak, pusingan kedua akan diadakan. Ini dilakukan di Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, pilihan raya _walaupun diadakan di mana-mana negara sekali pun, ia menggambarkan satu cerminan demokrasi dan kematangan fikiran rakyatnya untuk masa depan. Indeks demokrasi itu tentunya memilih kerajaan yang boleh dan berupaya memberi jaminan kestabilan seterusnya membuka ruang untuk ekonomi dijana sebaris dengan negara lain dalam kelompok ASEAN, Asia dan juga Eropah, yang membentuk dunia hari ini. Namun pada masa sama, ukuran demokrasi itu tidak seharusnya mencedok acuan negara lain tetapi memetik kata seorang teman, biarlah tidak sendat untuk yang memakai ketat, tidak longgar untuk pemakai gempal.