Keputusan menurunkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas dilihat menjawab teka-teki siapa bakal jadi Menteri Besar jika BN menang di negeri itu.

Selain bertanding di DUN Ayer Lanas, Mustapa juga akan mempertahankan kerusi parlimen Jeli pada pilihan raya umum nanti.

Mustapa bagaimanapun menganggap pencalonannya di kerusi DUN Ayer Lanas sebagai amanah dan tidak timbul soal bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar jika BN diberi mandat oleh rakyat kelak.

"UMNO ada 45 calon yang layak untuk jadi MB. Soal siapa MB tidak berbangkit pada masa ini kerana kita hendak rakyat terima semua calon BN," katanya selepas mengumumkan senarai calon BN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas mengenai keputusan pucuk pimpinan parti yang meletakkan beliau bertanding di kerusi Ayer Lanas, Mustapa menjelaskan ia dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, BN mengekalkan beberapa nama pemimpin kanan UMNO negeri itu bertanding di beberapa kerusi Parlimen.


Tiga pemimpin kanan UMNO yang akan bertanding kerusi Parlimen di Kelantan.


Sementara itu, tujuh ADUN yang menang pilihan raya umum ke-12 termasuk seorang yang menang pilihan raya kecil turut diumumkan bertanding mempertahankan kerusi DUN masing-masing.

Mereka ialah:

BN Kelantan turut menyenaraikan enam tokoh agama antaranya Mohd Shamsul Mohd Yusoff (DUN Pasir Tumboh), Mohd Fakhrurazi Abdul Rahim (DUN Bunut Payong) dan Mohd Afandi Yusoff (DUN Meranti).

"Saya akan cuba mengubah kawasan Pasir Tumboh menjadi satu kawasan yang bukan sahaja mendapat keberkatan dunia tetapi juga akhirat dengan mengadakan ceramah agama bagi memantapkan akidah dan sahsiah diri mereka, " kata Mohd Shamsul kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

BN Kelantan menampilkan 25 muka baru atau 45 peratus daripada senarai calon.

Dalam pada itu, BN Kelantan menamakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas, Che Johan Che Pa dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Mas sekaligus menamatkan desas-desus BN akan mencalonkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Sementara itu, Mustapa berharap mereka yang tersenarai mampu menggalas harapan rakyat Kelantan untuk membela nasib mereka dan yakin tidak akan berlaku masalah "cah keting".

"Kita dapati bahawa penerimaan rakyat dan pemimpin kompenen BN adalah baik dan saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan yang menunjukkan toleransi dan persefahaman yang tinggi yang membolehkan kita mengumumkan nama calon tanpa sebarang masalah," katanya.

Mustapa menjelaskan daripada aku janji yang telah dibuat, UMNO Kelantan percaya semua bahagian di negeri itu termasuk mereka yang dicalonkan dan tidak dicalonkan dapat menerima keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau juga yakin BN mampu menang sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen. Kelantan mempunyai 14 kerusi parlimen dan 45 DUN.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, BN menang hanya enam kerusi DUN dan dua kerusi parlimen.