Muzik boleh dinikmati tanpa menggunakan dadah. Itulah yang diluahkan oleh rata-rata pengguna media sosial malam tadi.

Pengambilan secara berlebihan telah mengakibatkan enam pengunjung ke Festival Music Future Asia 2014 meninggal dunia.

Jika sesuatu muzik itu cukup baik, seseorang peminat muzik tidak perlu menggunakan dadah semata-mata untuk lebih menikmatinya, kata Aven Fauzi di laman media sosial Twitter.

Konsert yang berlangsung sejak Khamis lalu telah dibatalkan hasil perbincangan dengan pihak penganjur konsert tersebut.

"Keenam-enam yang maut itu dipercayai mengambil dadah jenis methamphetamine dari luar stadium sebelum masuk dan melihat konsert itu. Dadah tersebut dikenali sebagai 'designer drug' atau dadah sintetik," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam satu sidang media semalam.