GEORGE TOWN: Menyusuri terowong sempit, berek lama, tapak meriam, stor peluru dan lokap yang masih mengekalkan struktur asal membawa pengunjung Muzium Perang Pulau Pinang di Batu Maung menelusuri kembali detik getir yang pernah mewarnai sejarah negara.
Di sebalik binaan yang masih utuh itu tersimpan pelbagai kisah dan tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua, menjadikan bekas kubu pertahanan British berkenaan bukan sekadar destinasi pelancongan, malah ruang pendidikan sejarah yang membolehkan generasi hari ini menyelami pengalaman dan pengorbanan generasi terdahulu.
Dikenali sebagai Outdoor Living War Museum menjadikannya lebih signifikan dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 apabila memberi peluang kepada pengunjung menghayati bahawa keamanan serta kebebasan dinikmati hari ini lahir daripada perjalanan sejarah yang panjang dan penuh pengorbanan.
Berkongsi sejarah muzium berkenaan, pengasasnya Datuk Johari Shafie berkata kawasan yang terletak di lereng bukit Batu Maung itu merupakan bekas kubu pertahanan tentera British ketika era penjajahan Tanah Melayu dan mempunyai pemandangan laut hingga 320 darjah.
"Kubu ini dibina British pada 1930 dan siap pada 1939 dengan kos kira-kira 40 juta pound ketika itu, merangkumi kawasan seluas 20 ekar serta dilengkapi pelbagai struktur ketenteraan termasuk terowong, kubu, tapak meriam, stor peluru, berek, menara pemerhatian dan lokap," katanya ketika ditemui Bernama di muzium itu di sini.
Beliau berkata sebahagian besar struktur berkenaan masih berada dalam keadaan asli dan tidak banyak diubah membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana kehidupan serta pertahanan ketenteraan pada era tersebut.
“Ini bukan muzium yang copy and paste, ia benda yang autentik iaitu yang sebenar. Jadi pelajar yang datang boleh melihat sendiri, berjalan sendiri dan mengenal pasti tempat-tempat berkaitan dengan sejarah Perang Dunia Kedua,” katanya.
Johari berkata kubu berkenaan turut menjadi sebahagian daripada sejarah Kempen Tanah Melayu apabila ia jatuh ke tangan tentera Jepun pada 16 Dis 1941 yang diketuai Jeneral Tomoyuki Yamashita.
Menurut beliau, sepanjang pendudukan Jepun selama tiga tahun lapan bulan, lokasi itu kemudiannya digunakan sebagai kem tahanan perang sebelum tahanan dipindahkan ke beberapa lokasi lain termasuk Kanchanaburi di Thailand untuk menjadi buruh paksa membina landasan Kereta Api Maut dan Jambatan Sungai Kwai serta ke Kranji, Singapura.
Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada 15 Ogos 1945, kubu itu terbiar hampir 60 tahun sebelum kembali diberi perhatian sebagai tapak tinggalan sejarah.
Bagi Johari, nilai sebenar muzium bukan semata-mata pada struktur kubu yang masih berdiri, sebaliknya kisah manusia yang pernah melalui pengalaman perang dan menjadi sebahagian daripada sejarah di lokasi berkenaan.
Beliau berkata koleksi peribadi berkaitan dua bekas tawanan perang (POW), termasuk gambar dan kisah kehidupan mereka yang pernah ditahan serta dipindahkan ke beberapa lokasi di rantau ini hingga Saigon, turut menjadi antara bahan penting disimpan di muzium itu.
Muzium itu juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dijemput menjadi antara anggota pengasas International World War II Museum Association yang berpusat di Beijing, China.
“Muzium Perang Pulau Pinang merupakan satu-satunya muzium seumpamanya di Asia Tenggara yang menyertai persatuan itu dan merupakan anggota majlis dengan nombor pendaftaran 014," katanya.
Beliau berkata usaha memelihara muzium bersejarah memerlukan komitmen besar, terutama daripada segi kos penyelenggaraan serta tenaga kerja yang mempunyai minat dan dedikasi terhadap pemuliharaan sejarah.
Selain lawatan pada waktu siang, katanya, muzium turut menerima tempahan kumpulan termasuk keluarga dan mereka yang berminat menyertai program berkaitan sejarah serta patriotisme.
"Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos, muzium ini boleh memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda bahawa kemerdekaan dan keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini mempunyai sejarah yang panjang serta dibayar dengan pengorbanan," katanya.
-- BERNAMA