KUALA LUMPUR: Muslim World League (MWL) melancarkan pertandingan Ramadan "Iman & Sains" yang disiarkan secara langsung sepanjang bulan ini melalui Facebook MWL, selain turut dipaparkan di halaman Facebook Iman & Sains Malaysia serta Iman & Sains Indonesia.
MWL dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, program interaktif itu menawarkan hadiah harian berjumlah RM1,000 dan peluang mingguan menunaikan umrah.
Advertisement
Pertandingan tersebut dianjurkan melalui Agensi Khidmat al-Quran dan Sunnah (Jabatan Tanda Saintifik), sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan kesedaran mengenai keajaiban saintifik dalam Al-Quran dan Sunnah.
Penyampaian dilakukan dalam format mudah dan ringkas melalui sesi siaran langsung di platform berkenaan.
Penyertaan dibuka kepada penduduk Malaysia serta komuniti Muslim di negara jiran termasuk Indonesia, dengan nama pemenang diumumkan setiap hari pada jam 10 pagi.
Program ini merupakan kesinambungan daripada rancangan televisyen “Iman & Sains” yang disiarkan tahun lalu, yang menerima sambutan menggalakkan kerana membincangkan pelbagai fakta saintifik berdasarkan Al-Quran dan hadis.
Penerbit program, Suhairi memaklumkan, penggunaan siaran langsung di media sosial membolehkan interaksi segera dengan penonton, sekali gus meningkatkan ketelusan pengumuman keputusan dan menarik penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.
MWL, yang ditubuhkan pada 1962 di Makkah, merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang berperanan memperkenalkan mesej Islam, menyatukan umat serta mempromosikan nilai hidup bersama secara harmoni di seluruh dunia.