Tahap literasi dan penglibatan rakyat Malaysia dalam ekonomi digital menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan terutama dalam kelompok anggota ASEAN dan APEC.

Ketua Pegawai Strategi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Shah Anuar berkata 62.7 peratus perniagaan di Malaysia telah memasuki fasa kedua 'perjalanan digital' (digital journey).

"Berita baiknya adalah kebanyakan perniagaan di Malaysia lebih maju kalau dibandingkan dalam kalangan negara ASEAN atau APEC.

"Dimana 62.7 peratus perniagaan di Malaysia sudah pun memasuki fasa pertama atau kedua dalam digital journey ini dibandingkan dengan purata di ASEAN hanya sekitar 50 peratus dan di Asia Tenggara sekitar 54.9 peratus.

"Ini juga secara keseluruhan menunjukkan peranan atau kefahaman terhadap ekonomi digital itu sudah meningkat di Malaysia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berkenaan Laporan Polisi Ekonomi APEC 2019: Reformasi Struktural dan Ekonomi Digital yang dikeluarkan minggu ini.

Perjalanan Digital atau 'Digital Journey' merupakan pelan hala tuju yang ditetapkan MDEC. - Foto MDEC

Ia menggariskan peluang dan cabaran dalam ekonomi digital yang perlu diberi perhatian termasuk buat Malaysia yang memegang kepengerusian APEC 2020.

Tambah Fadzil lagi, MDEC akan terus mempergiatkan usaha tahun hadapan seiring memenuhi aspirasi APEC di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER).

"Bagi MDEC, kami tidak melihat secara eksklusif kepada mana-mana sektor. Namun, kita sedar bahawa cabaran pertama iaitu dari segi kemahiran.

"Kami ada program e-Usahawan yang tumpukan kepada pemasaran digital yang mana ia akan memenuhi kehendak para usahawan ketika ini yang mencari tenaga kerja yang berkemahiran digital," katanya.

Laporan Polisi Ekonomi itu diterbitkan pada awal minggu ini dan menjadi landasan kepada pelaksanaan AIDER tahun hadapan oleh Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Digital (DESG) dibawah APEC.

Mengikut statistik APEC, penggunaan internet dalam populasi APEC meningkat kepada 1.7 bilion pengguna pada 2017 berbanding 2.2 juta pengguna pada 1990.

Malah, capaian akses internet turut meningkat daripada 0.1 peratus pada 1990 kepada 60.1 peratus pada 2017.

Selain itu, statistik pembayaran menerusi digital juga amat memberangsangkan iaitu sekitar 67 peratus di bandar dan 61 peratus di luar bandar pada tahun 2017.