Rangkaian pasaraya borong, Mydin menjanjikan harga ayam yang lebih murah berbanding harga pasaran sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri nanti.

Pengarah urusan-nya Datuk Ameer Ali Mydin berkata, rangkaian pasaraya itu akan terus bertahan dengan menjual harga ayam siap diproses pada harga RM7.29 sekilogram.

Ameer berkata, Mydin masih menjana keuntungan dengan menjual harga ayam di paras yang terendah kerana pihaknya membeli dengan harga pukal daripada pengeluar tempatan.

“Disebabkan Mydin merupakan salah sebuah pasaraya yang terbesar di Malaysia, pembelian ayam kita pada satu hari adalah 20 tan, dan disebabkan pembelian kita banyak kita dapat harga pukal. Kita sedar sekarang dalam pasaran ayam dijual pada harga RM8 hingga RM10, tetapi di Mydin kita kekalkan pada harga RM7.29. Jadi kami berharap pasaraya dan pasar-pasar yang lain akan ikut harga Mydin, janganlah kita ambil untung sangat pada musim perayaan,” beliau berkata.

Beliau berkata demikian di majlis berbuka puasa dan sumbangan pakaian raya kepada anak-anak yatim di pasaraya Mydin cawangan Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Sebelum ini harga ayam di beberapa negeri didapati naik mendadak sepanjang minggu pertama Ramadan.

Di Terengganu umpamanya harga ayam biasa dijual diantara RM8.80 dan RM9.

Manakala di Pulau Pinang ada yang mencecah sehingga RM12 sekilogram.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dijangka melaksanakan harga siling barangan keperluan termasuk ayam sempena Aidilfitri pada penghujung Ramadan iaitu awal Ogos.