ALOR SETAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) berjaya mengagihkan sepenuhnya 10,500 tan metrik (MT) Baja Padi Sebatian Tambahan bagi Musim 1 ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), hari ini.
Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin berkata agihan dalam tempoh 10 hari, yang juga berskala besar itu diberikan terus kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA selaku stokis strategik bagi menjamin input pertanian sampai ke tangan pesawah mengikut jadual penanaman yang kritikal.
“Operasi bersepadu ini digerakkan serta-merta sejurus menerima arahan pembekalan pada 3 Sept lepas.
“Melalui penjajaran logistik tanpa henti, sebanyak 93 peratus atau 9,778 MT (bersamaan 391,116 beg) berjaya disalurkan ke peringkat stokis setakat petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata baki keseluruhan 10,500 MT itu, selesai diagihkan sepenuhnya tengah hari tadi.
Kepantasan pelaksanaan itu membuktikan kesiapsiagaan ekosistem Nafas dalam bertindak balas terhadap keperluan mendesak pada peringkat ladang.
Beliau berkata 10,500 MT itu adalah amanah untuk kebajikan pesawah dan kejayaan menepati garis masa 10 hari berkenaan juga membuktikan apabila rantaian Nafas, MNFSB, MADA, dan rangkaian 27 PPK bergerak serentak, ia mampu merungkai permasalahan demi membela kepentingan pesawah.
“Ukuran sebenar operasi kami ialah kualiti produk dan ketepatan masa. Keupayaan operasi ini disokong oleh MNFSB di Gurun, yang memiliki kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 360,000 MT.
“Sebagai aset strategik Nafas, kilang ini memastikan keterjaminan bekalan input agromakanan negara kekal mampan dan responsif,” katanya.
Beliau berkata Nafas merakamkan penghargaan kepada pengurusan MADA, 27 PPK, rakan logistik, serta warga kerja Nafas dan MNFSB yang komited menggerakkan rantaian bekalan ini sehingga selesai.
-- BERNAMA