SUNGAI PETANI: Adik kepada penghantar makanan yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Noorhidayah Muhammad Salleh, 30, tidak menyangka abangnya, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, menepati janji untuk pulang awal sempena majlis pernikahannya namun dalam keadaan tidak bernyawa.

Noorhidayah berkata, dia dijadualkan bernikah pada Jumaat depan dengan lelaki pilihan hatinya.

"Ketika sambutan Aidiladha, kami berbincang tentang majlis perkahwinan saya. Abang cakap nak balik awal. Betul, dia balik awal," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noorhidayah yang juga anak kedua daripada lima beradik bersyukur kerana urusan membawa pulang serta pengebumian arwah abangnya berjalan lancar walaupun tidak membuat sebarang persiapan untuk pergi ke sana.

"Memang bergerak pada Khamis malam, dengan niat nak ambil (jenazah) abang bawa balik, sampai sahaja di sana, semua urusan sangat dipermudahkan.

"Allahuakbar, Allah permudahkan segalanya. Ramai yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir," katanya.

Muhamad Hafiz merupakan seorang dari 10 mangsa yang terkorban dalam kejadian nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, pada Khamis.

Kejadian turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. - Sinar Harian