KUALA LUMPUR: Seekor kucing dipanggil Oyen turut menjadi mangsa dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Dalam catatan di Instagram, doktor yang merawat Oyen memaklumkan si comel itu diselamatkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan dan dihantar ke klinik dengan ambulans.

"Oyen ini ada di kawasan kejadian semasa kapal terhempas di Elmina.

"Terima kasih pasukan ambulans KKM kerana turut menyelamatkan Oyen," kata Dr Zul Erwan dari Zul Erwan Veterinary Clinic.

Ruangan komen dipenuhi ucapan warganet yang mendoakan Oyen cepat sembuh.

Tidak kurang juga yang meluahkan kerisauan jika haiwan itu akan mengalami trauma kesan daripada nahas tersebut.

Kucing jantan itu dilaporkan mengalami luka di bahagian rusuk, dipercayai terkena serpihan semasa nahas.

Namun menerusi kemaskini terkini, Oyen dilaporkan dalam keadaan baik namun memerlukan masa untuk sembuh.

Malah dalam video terbaharu, Oyen dilihat mampu berdiri dan makan dengan berselera.

"Tak sangka ramai doakan dia. Oyen okey cuma akan ambil masa sikit untuk lukanya sembuh," katanya.