Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed telah mengeluarkan arahan kepada angkatan tentera dan pasukan mencari bangkai pesawat Hawk 108 yang terhempas pada Khamis agar menyelesaikan semua proses pencarian sebelum Syawal.

Ia bagi mempercepatkan proses siasatan untuk mengetahui punca sebenar tragedi yang meragut nyawa dua juruterbang pesawat TUDM Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof serta Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari.

Ini termasuk penambahan anggota mencari dan menyelamat serta radius pencarian.

"Sekarang ini pasukan tentera darat juga sedang membantu mencari bangkai pesawat tersebut. Kawasan-kawasan yang cuba dikenal pasti dan anggota tentera darat telahpun keluar bersama anggota SAR, namun sehingga kini mereka masih gagal menjumpainya dan usaha tersebut akan giat diteruskan," kata Raja Mohamed Affandi.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga juruterbang malang itu selain menyifatkan ia satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan negara.

Tan Sri Raja Mohamed Affandi ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 kepada anggota tentera di ibu negara.