KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter yang terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, pada 9.32 pagi, Selasa.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memberitahu, lembaga tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.

“Kita akan tubuh Lembaga Penyiasatan dan penubuhan (Lembaga Penyiasatan) ini adalah perkara normal dalam sebarang insiden,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Kelab Menembak and Combat Adventure Fields, di sini pada Selasa.

Mohammad pada masa sama menzahirkan takziah kepada keluarga kesemua mangsa yang terkorban.

Terdahulu, Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, insiden itu melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM)-AW139 dan helikopter Fennec.

"Insiden melibatkan 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera
Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman," katanya pada Selasa.

[TERKINI] TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Dalam nahas pagi tadi, kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di pangkalan TLDM Lumut itu dilaporkan sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter itu telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.