IPOH: Semua jenazah nahas dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM pagi tadi selamat tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tepat jam 6 petang pada Selasa.

Jenazah mangsa dibawa ke hospital tersebut menggunakan van jenazah dengan diiringi empat motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima kenderaan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa individu dalam van jenazah berkenaan, dipercayai ahli keluarga kepada mangsa yang terlibat.

Berpandukan kepada kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada petang tadi, semua jenazah dibawa ke HRPB untuk proses bedah siasat.

Begitupun, pihak media yang sudah berkampung di luar Jabatan Forensik HRPB masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung proses tersebut.

Kru Astro AWANI akan terus berada di lokasi untuk memberikan perkembangan dari semasa ke semasa.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan seramai 10 orang maut dalam nahas tersebut.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

ATM dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter yang terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, pada 9.32 pagi, Selasa.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memberitahu, lembaga tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.