Satu gerakan bersepadu mencari dan mendapatkan semula bangkai helikopter AS350 yang terhempas di Sungai Batang Lupar kira-kira 250km dari sini, akan dilaksanakan Khamis ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Wilayah Sarawak, Kapten Maritim Newton Julak anak Nangkai berkata ia dirancang hasil mesyuarat khas bagi menyelaras operasi mencari anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas dekat sini pagi ini.

Beliau berkata 20 pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi terbabit dalam mesyuarat itu, antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis, Jabatan Laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan APMM.

"Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Sarawak, Ling Swee Ing selaku jabatan yang bertanggungjawab mengetuai usaha pencarian," katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam tragedi 5 Mei lepas, helikopter jenis Eurocopter AS350, yang dinaiki lima penumpang serta juruterbang, dipercayai terhempas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, dan sehingga kini badan utama pesawat itu masih belum dijumpai.

Namun kesemua enam mangsa - Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun; Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai; serta juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas berjaya ditemukan.

Newton Julak berkata tiga alat pengesan sonar milik JPAM, TLDM dan jabatan Laut akan digunakan bagi mengesan bangkai helikopter di bawah permukaan air, dan menurutnya usaha pencarian akan ditumpukan di sekitar kawasan Sungai Batang Lupar antara Lingga dan Trisoh.

Katanya dua kapal dan empat bot pelbagai jabatan serta agensi digerakkan dalam misi pencarian itu, dengan sebuah kapal akan ditugaskan mengetuai di lokasi sebagai penyelaras.