KOTA BHARU: Suami kepada Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan serta membantu dalam pengurusan jenazah isterinya sehingga selesai.
Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak serta Kerajaan Kelantan banyak memudahkan segala urusan membabitkan pengurusan arwah.
"Takdir sudah terjadi, namun Alhamdulillah perjalanan dipermudah. Saya mendapat sokongan daripada semua, sama ada kawan-kawan yang mengenali saya mahupun yang tidak mengenali saya.
"Bagi saya, itu satu rezeki untuk arwah kerana mendapat sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua termasuk pihak media," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata urusan di Sarawak sejak insiden berkenaan berlaku berjalan lancar meskipun mengambil sedikit masa, selain terdapat ketidaktentuan berhubung maklumat pada peringkat awal.
"Namun, tidak mengapa kerana semua urusan dapat diselesaikan lebih awal daripada jangkaan, termasuk proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.
Muhammad Faiz berkata beliau reda dengan ketentuan Allah SWT, namun mengakui ada ketika kenangan bersama Allahyarham kembali bermain di fikiran.
Terdahulu, jenazah Dr Ainul Baraah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper pada 2.20 petang selepas solat jenazah di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini.
Dr Ainul Baraah antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.
Nahas turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.
-- BERNAMA