PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya sempena penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini, sambil mengingatkan nahas berkenaan adalah cabaran kesihatan awam yang serius dan penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.
Dalam catatan di laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), secara purata 18 individu maut setiap hari di negara ini, dengan 59 peratus daripada kematian itu membabitkan penunggang motosikal.
“Setiap kali tibanya hujung minggu yang menghimpunkan peminat permotoran, bilik kecemasan di hospital seluruh negara sering berhadapan dengan realiti yang amat memilukan. Di sebalik kerancakan acara, ada keluarga yang menerima khabar duka, kehilangan tempat bergantung akibat nahas jalan raya.
“Dari satu sudut, setiap kali lonjakan kes kemalangan berlaku dalam satu-satu masa, seluruh sumber hospital, bermula daripada bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah, hinggalah kepada tenaga pakar pelbagai disiplin terpaksa digerakkan dan dialihkan. Inilah realiti sistem kesihatan kita, iaitu satu peratus tenaga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) menggalas tanggungjawab menguruskan 99 peratus populasi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan menghadapi ujian itu, selain merakamkan penghargaan kepada Pasukan Kecemasan dan Trauma Pelbagai Disiplin KKM yang bertungkus-lumus merawat serta menyelamatkan nyawa mangsa nahas jalan raya.
Dzulkefly berkata kesan nahas jalan raya bukan sahaja dirasai oleh keluarga mangsa, malah memberi impak besar kepada ekonomi negara.
“Berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (VSOL), kerajaan menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap nyawa yang terkorban. Ini bukan sekadar angka, sebaliknya mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun menyokong semangat silaturahim yang menjadi teras penganjuran konvoi motosikal berskala besar, siri kemalangan maut yang berulang sejak edisi pertama hingga penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini amat membimbangkan.
Dzulkefly berkata penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin dengan menjadikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib dalam setiap penganjuran bagi mengelakkan insiden kehilangan nyawa akibat kelajuan.
“Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital sentiasa boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ekstrem di jalan raya dan menghentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan iaitu ‘Yang Santai, Pasti Sampai’,” katanya.
Dzulkefly berkata, slogan itu amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju dan menyasarkan kemalangan sifar dengan menjadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera masing-masing.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kemalangan dipercayai membabitkan peserta yang dalam perjalanan menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu serta pengguna jalan raya, antaranya tiga penunggang motosikal maut dan dua lagi cedera dalam empat kemalangan berasingan di Pahang manakala di Kuala Nerus, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengalami kecederaan melecur 60 peratus dan kini ditidurkan.
– BERNAMA