NATIONAL
Nahas trak FRU: Tiada lagi suara Abang Long tanya khabar umi, ayah - Ibu Muhamad Akmal

Muhamad menyiram air mawar pada pusara anaknya selepas selesai pengebumian di Masjid Ar-Mubarak, Kampung Telok Pial, Kuala Kurau, hari ini. - Foto Sinar Harian
PARIT BUNTAR: "Selepas ini tiada lagi suara Abang Long yang selalu bertanya khabar umi dan ayah. Mak cik akan rindu suara dan kenangan bersamanya,"
Itu luahan Ruzita Razali, 59, ibu kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Muhamad Akmal Muhamad yang maut dalam tragedi kemalangan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik berhampiran Sungai Lampam, Teluk Intan pada Selasa.
Menurut Ruzita, anak sulungnya itu sering membuat panggilan video dengannya dan menceritakan perkembangan aktiviti serta penugasannya.
"Selang sehari dia mesti 'video call', tanya umi buat apa, petang pula dia akan call tanya ayah buat apa... lepas ni, dah takkan dengar lagi suara dia."Kali terakhir mak cik berbual dengannya pada petang Isnin dan dia nampak ceria seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mubarak Telok Pial, Kuala Kurau di sini pada Rabu.
Ruzita berkata, anaknya itu pada asalnya bekerja di Jabatan Veterinar sebelum memilih untuk menyertai pasukan polis kerana minat yang mendalam dan ingin mengikut jejak langkah ayahnya.
"Mak cik berat hati mulanya, tapi dia cakap itu cita-cita dia dari dulu. Akhirnya mak cik reda dan izinkan.
"Arwah memang sejak kecil suka aktiviti lasak malah kalau dia pulang ke kampung pasti setiap pagi dia akan keluar berjoging selepas menunaikan solat subuh," katanya lagi.
Menyifatkan arwah anaknya seorang yang bertanggungjawab dan penyayang, Ruzita berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu ketika dia pulang ke kampung sempena Aidilfitri lalu selama enam hari dan sudah pun merancang untuk pulang semula pada Aidiladha yang akan datang.
Tambahnya, meskipun kehilangan itu amat perit, beliau reda kerana memahami tuntutan tugas anaknya sebagai anggota polis.
"Dia tanya mak cik buat korban ke tahun ni, dia kata dia nak balik sebab tak pernah dapat cuti Raya Haji. Dia nak sangat berkumpul dan jumpa adik dia.
"Mak cik reda, tapi rindu tu tak akan hilang. Dia anak yang baik, anak soleh. Kenangan dia, 'video call' dia, suara dia... semua tu akan mak cik ingat sampai bila-bila," kongsinya lagi.
Sementara itu, adik Allahyarham, Muhammad Hafizuddin Muhamad, 32, pula berkata, beliau menyedari perubahan pada abang sulungnya sejak beberapa hari sebelum kejadian.
“Dia selalu kongsi tentang aktiviti joging dia dalam status WhatsApp, tapi dua tiga hari ni dia mula kongsi gambar keluarga.
"Macam dia rindu sangat... itu yang buat saya rasa pelik,” katanya.
Terdahulu, jenazah Koperal Muhamad Akmal selamat dikebumikan dengan penuh istiadat polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Mubarak, Kampung Telok Pial, Kuala Kurau.
Jenazah tiba di rumah mertuanya di kampung tersebut kira-kira jam 6.15 pagi sebelum dikebumikan pada jam 7.15 pagi dengan kehadiran kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk setempat.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan kemudian dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, bagi menjalani istiadat penghormatan terakhir sebagai anggota polis.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila ahli keluarga tidak dapat menahan sebak tatkala jenazah disemadikan dengan penuh penghormatan.
Pasukan istiadat kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang kepada ayah Allahyarham, Muhamad Razali, 63 sebagai simbol penghargaan atas pengorbanannya ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Allahyarham Muhamad Akmal merupakan antara sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan melibatkan trak pasukan itu dengan sebuah lori membawa batu kerikil di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, kira-kira jam 8.30 pagi pada Selasa.
Allahyarham meninggalkan seorang balu beserta dua orang anak lelaki dan perempuan berumur 6 tahun dan 2 tahun. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami