Skip to main content

Malaysia

Na’imah, dua anak dan peguam fail saman terhadap kerajaan

41705990033_TBNAIMAHjpg.jpg
Saman yang difailkan oleh Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berkaitan siasatan ke atas mereka berhubung dakwaan terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, dua anaknya, serta dua peguam keluarga berkenaan hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.

Saman itu berkaitan siasatan ke atas mereka berhubung dakwaan terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan.

Advertisement

Plaintif terdiri daripada Na’imah; dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin; serta dua peguam, Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Mereka memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh KPN dan kerajaan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, susulan laporan polis bertarikh 26 Februari lalu, adalah tidak sah dan tidak berasas.

Selain itu, plaintif turut meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa siasatan tersebut bersifat tidak berperlembagaan, dijalankan dengan niat jahat, mempunyai tujuan terselindung serta merupakan penyalahgunaan kuasa statutori.

Sebagai balu kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Na’imah bersama plaintif lain juga mencabar keabsahan Seksyen 124B Kanun Keseksaan. 

Mereka berhujah bahawa peruntukan yang melarang “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” itu adalah kabur, terlalu luas dan tidak seimbang sekali gus bertentangan dengan Perkara 5, Perkara 8 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif turut memohon supaya tindakan KPN dan kerajaan memulakan serta meneruskan siasatan tersebut diisytiharkan sebagai melanggar kebebasan asasi yang dijamin Perlembagaan.

Mereka juga memohon perintah interim bagi menghalang KPN dan kerajaan daripada menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah‑Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk memudahkan siasatan di bawah Seksyen 124B, sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai isu perlembagaan yang dibangkitkan.

Menurut kenyataan peguam plaintif, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, tindakan saman itu difailkan demi kepentingan awam bagi mencabar apa yang disifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa serta memberhentikan dakwaan tidak benar mengenai wujudnya “komplot Zionis” untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebelum ini, KPN mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara, melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa memiliki kaitan dengan agensi media antarabangsa.

Na’imah pula menegaskan beliau tidak pernah terlibat, mempertimbang atau menyokong apa‑apa usaha yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat. 

Must Watch Video