Skip to main content

Malaysia

Najib akan dibawa ke Langgak Duta?

KUALA LUMPUR, 21 Sept - Sebuah balai polis bergerak ditempatkan berhampiran kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mulai hari ini. Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata penempatan balai bergerak di bawah tanggungjawab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu, dijadualkan bermula 7 pagi di kediaman Najib di Langgak Duta di sini. Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara ta
Menurut ACP Anuar Bakri, sebuah balai polis bergerak ditempatkan berhampiran kediaman Najib mulai hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini, bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya masih menunggu maklumat terkini berhubung perkara itu, termasuk arahan berkaitan penempatan bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Belum. Pihak saya belum menerima sebarang maklumat lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Anuar Bakri, kawalan polis di sekitar kediaman Najib masih pada tahap sama seperti semalam, tanpa sebarang pertambahan anggota setakat ini.

Beliau berkata, kekuatan anggota akan ditambah sekiranya pihaknya menerima maklumat rasmi berhubung kemungkinan Najib dibawa ke kediaman berkenaan.

“Kalau ada pertambahan dan maklumat terkini berkaitan pembebasan Najib untuk menjalani tahanan rumah di Jalan Langgak Duta, saya akan tingkatkan kekuatan,” katanya.

Sementara itu, pengamal media mula berkumpul di hadapan kediaman Najib sejak pukul 7 pagi tadi.

Sebuah balai polis bergerak yang ditempatkan di hadapan kediaman berkenaan beroperasi pada pukul 7 pagi tadi, dengan bantuan beberapa anggota polis serta dua unit kereta peronda polis.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain yang ditetapkan.

Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada Julai 2020, beliau disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Hukuman berkenaan kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib sebanyak 50 peratus, daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

Must Watch Video

Advertisement