Manifesto khas Barisan Nasional (BN) Selangor dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan minggu depan, kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Najib ialah Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Pilihan Raya negeri itu.

Mohd Zin berkata BN negeri sedang mendapat tarikh sesuai untuk Perdana Menteri melancarkan manifesto khas itu.

Secara umumnya, manifesto BN Selangor bermatlamat menjadikan Selangor negeri premier, sejajar dengan pembangunan Kerajaan Persekutuan, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menambah nilai ekonomi berdasarkan pengetahuan dan kekuatan sumber manusia, katanya di sini hari Rabu.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Zin berkata manifesto itu juga menekankan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta usaha menjadikan Selangor pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia.

Beliau berkata antara lain manifesto khas itu menjanjikan penyediaan rumah mampu milik, insentif dan bantuan kepada rakyat, pembangunan di sepanjang jalan yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Klang serta kawasan pertumbuhan ekonomi, merangkumi Pelabuhan Klang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kuala Lumpur.

BN Selangor juga berjanji menangani isu air, masalah banjir kilat dan sisa pepejal di negeri yang dikuasai pembangkang itu, katanya.

Mohd Zin berkata BN Selangor sudah bersedia menghadapi pilihan raya ke-13 ini, dan semangat yang ditunjukkan oleh jentera pilihan raya parti untuk bekerja bagi meraih kemenangan, sangat tinggi.

"Saya lihat tahap kesiapsiagaan, sikap serta semangat jentera nampaknya melonjak sebaik sahaja pembubaran Parlimen pada 3 April lepas," katanya.