Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau ada berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low beberapa kali, berkenaan operasi akaun peribadi AmBank beliau.

Bekas Perdana Menteri itu membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung perbualan dalam BlackBerry Messenger (BBM) di antara Jho Low dan bekas pengurus perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu Ging Ping.

Ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Datuk V Sithambaram, Najib mengakui Jho Low akan memastikan beliau sentiasa memiliki dana yang mencukupi dalam akaun Ambank miliknya untuk mengeluarkan cek dan membuat pembayaran menggunakan kad kreditnya.

Najib turut bersetuju bahawa siri perbualan antara Jho Low dan Joanna pada Ogos 2014 menggambarkan pembelian barang kemas yang dibuat dengan kad kredit Najib di Itali berjumlah RM3.28 juta.

Bagaimanapun, Najib berkata kebanyakan komunikasi antara beliau dan Jho Low adalah menerusi bekas setiausaha peribadinya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Namun apabila Sithambaram bertegas beliau pernah berhubung sendiri dengan Jho Low, Najib tidak menafikannya.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda, perbualan BBM ini menunjukkan bahawa Jho Low pada beberapa waktu berhubung dengan anda, untuk memastikan kad dan cek boleh dikeluarkan.

Najib: Ia dibuat menerusi Datuk Azlin Alias.

Sithambaram: Tetapi pada masa-masa tertentu dengan Jho Low?

Najib: Hanya beberapa kali. Beberapa kali sahaja.

Sithambaram: Beberapa kali, dia berhubung dengan anda?

Najib: Ya.



Pada Rabu, Najib memberi keterangan bahawa beliau dimaklumkan tentang status akaun bank peribadinya kebanyakannya oleh Azlin dan kadang-kala oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil tetapi dengan Jho Low ia hanya untuk pengiriman wang membabitkan sumbangan Arab Saudi.

Najib, bagaimanapun, tidak bersetuju bahawa beliau mempunyai pengetahuan sebenar tentang status tiga akaunnya pada setiap masa.

Sithambaram turut menyoal Najib tentang kenapa beliau menghalang bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada pergi ke Switzerland untuk mendapatkan wang yang dipinjam SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dalam jawapannya, Najib menegaskan bahawa permintaan daripada Ahmad Husni tidak dibuat secara rasmi.

Sithambaram: Anda bersetuju bahawa SRC, sebagai sebuah syarikat, memohon kepada kerajaan Switzerland untuk menarik balik pembekuan wang adalah tidak begitu berkesan seolah-olah kerajaan telah menghantar wakil untuk mendapatkan wang itu?

Najib: Itu boleh dibahaskan.

Sithambaram: Wang ini milik dana pencen kerajaan yang sah. Sekiranya menteri kewangan atau menteri kewangan kedua pergi, ia akan menjadi lebih berkesan. Saya tidak boleh bayangkan sebaliknya. Kenapa Ahmad Husni tidak boleh mengambilnya?

Najib: Ia akan lebih berkesan dengan perancangan yang betul.

Sithambaram: Adakah anda memberitahunya untuk membuat perancangan yang betul?

Najib: Saya tidak memberitahunya tetapi saya mahukan perancangan yang betul.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda tidak mahu beliau pergi dan membawa balik dana itu.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Najib juga memberi keterangan bahawa Kabinet tidak dirujuk apabila pinjaman kedua SRC International gagal kerana perkara itu sudah berada di bawah bidang kuasanya sebagai perdana menteri.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Jan.

Hakim mengingatkan Najib untuk tidak membincangkan kes itu atau menyiarkan sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu kerana beliau akan menyambung keterangan dan masih terikat dengan angkat sumpah.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 20 Januari.