Cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dan bermuafakat ke arah perdamaian akan dipertimbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan jemaah menteri.

"Biarlah saya runding perkara ni dengan jemaah menteri nanti dan apapun yang penting kita nak supaya negara kita aman dan kita dapat tentukan kesejahteraan rakyat," jelasnya.

"Inilah yang kita mahu utamankan dan apapun ideologi politik atau kefahaman politik, yang penting kita bertindak mengikut lunas undang-undang dan menjaga sensitiviti kaum, agama dan menghormati hak masing-masing bedasarkan prinsip perlembagaan negara dan undang-undang peringkat pusat dan negeri," tegas Najib selepas melancarkan buku Maps of Malaya and Borneo: The Collection Of Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah and Datuk Richard Curtis di sini.

Najib mengulas tawaran Anwar pada Ahad lepas yang dilaporkan mengajak kepada permuafakatan nasional, terutamanya berkaitan keharmonian agama dan kaum di negara ini.

Sementera itu, mengulas mengenai isu kalimah Allah yang turut terkandung dalam cadangan Anwar, Perdana Menteri berkata kerajaan dengan jelas membuat pendirian berhubung perkara itu seperti yang dinyatakan selepas Mesyuarat Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Beliau berharap semua pihak dapat menerimanya agar ia tidak menyentuh penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dalam keadaan aman dan bebas.